Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian kali ini ternyata lebih baik berbanding tahun lepas dengan dominasi lebih menyeluruh, sekali gus memperlihatkan kemenjadian murid sekolah berkualiti terus berkembang di negeri ini.

“Terengganu sebenarnya telah mendahului sejak tiga tahun kebelakangan ini. Aspek seimbang dan bersepadu mengikut tuntutan pasaran kerja dan keperluan pemain global tanpa meninggalkan budaya, sahsiah, nilai dan agama.

“Syabas dan tahniah kepada warga pendidik, ibu bapa yang sentiasa menyokong dan rakan-rakan strategik utama serta kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang sentiasa membantu,” ujarnya.

 Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas pencapaian sekolah-sekolah yang mewakili negeri ini dalam majlis penyampaian anugerah itu yang berlangsung di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, di Kuala Lumpur hari ini.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek Setiu menerima anugerah Terbaik Pembestarian Sekolah (Smart School Qualification Standards) dengan menggondol hadiah wang tunai RM10,000 manakala  negeri berada di tangga ketiga.

SK Mangkok, Setiu muncul sebagai johan Pusat Sumber Sekolah (PSS) Kategori  Sekolah Kurang Murid  (SKM) manakala  SK Padang Mengkuang, Marang naib johan Kategori Sekolah Rendah sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq Besut menjuarai Kategori Sekolah Menengah.

Sebuah lagi sekolah, SK Sungai Pergam menjadi  johan penggunaan VLE  teknologi VSAT SKM manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas di tempat kedua Kategori Sekolah Menengah.

 Ahmad Nazrin Shamsuddin  dari Sekolah Menengah Ajil  di tangga ketiga bagi kategori Klip Video Sekolah Menengah Atas manakala enam  murid menerima  hadiah penghargaan Penerbit Muda iaitu Khaleda Irdina Batrisya Harun, Nor Nabihah  Alwi, Nur Fitrah Mohamad Zuki, Wong Enzo, Fitratul Islam Mohd Khairul Azman dan Muhammad Akmal Hadib Md Shukri.

APS memberi peluang kepada warga sekolah  mendapat pengiktirafan atas kecemerlangan dan kejayaan dalam pelaksanaan aktiviti Pembestarian Sekolah dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan telekomunikasi dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran. - UTUSAN ONLINE