Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Ledang, Fairuz Jamaludin berkata, program ini bagi memberi pendedahan kepada calon UPSR teknik mengulang kaji pelajaran secara efektif menjelang peperiksaan.

“Peserta juga dibimbing dengan teknik menjawab soalan dengan tepat dan pantas di samping diberi suntikan motivasi bagi meningkatkan aras keyakinan diri mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan program yang disempurnakan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani.

Program dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia yang kali pertama diadakan ini dikendalikan oleh Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain.

Peserta merupakan calon UPSR dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang, SK Kesang Tasek, SK Parit Bunga dan SK Tanjong.

Menurut Fairuz, sokongan ibu bapa terhadap program ini juga menggalakkan berdasarkan jumlah kehadiran mereka yang ramai bagi mempersiapkan anak ma­sing-masing dari segi akademik mahupun mental.

“Hal ini secara tidak langsung menunjukkan ibu bapa juga turut memberikan komitmen yang baik dan bekerjasama dengan Pemuda UMNO Ledang dalam meningkatkan pencapaian akademik di daerah ini,’’ katanya.