Pelaksanaan projek itu membabitkan kos berjumlah RM300 juta iaitu daripada peruntukan RM500 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Bajet 2017 bagi Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, PPKHAS 2017 telah diwujudkan oleh pihak­nya untuk menguruskan peruntukan seperti diumumkan Perdana Menteri.

Katanya, sebanyak 8,171 projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah PPKHAS 2017 yang meliputi kerja pendawaian, peralatan pencegahan kebakaran, rawatan anai-anai dan penambahbaikan pagar sekolah.

“Bagi melaksanakan projek tersebut, sebanyak 11,281 kontraktor telah berdaftar melalui sari­ngan awal untuk dianugerahkan projek melalui lantikan terus, undian dan sebut harga,” katanya.

Bagi menjayakan projek tersebut, Datuk Seri Alias Ahmad menyatakan bahawa tatacara perolehan yang akan diguna pakai dalam pemilihan syarikat/kontraktor bagi perlaksanaan projek PPKHAS ini adalah secara lantikan terus bagi projek bernilai tidak melebihi RM20,000.

“Manakala bagi projek yang bernilai melebihi RM20,000 sehingga RM100,000 pula kita akan melantik secara undian menggunakan Jadual Kadar Harga (JKH) Bangunan/Awam serta JKH elektrik. Pemilihan kontraktor secara sebut harga juga turut dilaksanakan bagi projek yang bernilai melebihi RM100,000 sehingga RM500,000. Projek me­nyenggara tangki air di sekolah-sekolah pula dilaksanakan secara tender terhad,” katanya lagi.

Alias berkata, buat julung kali­nya, Kementerian Pendidikan me­laksanakan kaedah pengundian bagi mengagihkan projek bernilai RM20,000 hingga RM100,000 bagi memastikan ia dilakukan secara telus dan terbuka.

Katanya, kaedah itu juga dilihat berjaya mempercepatkan proses agihan projek, sekali gus dapat menyegerakan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

“Kita telah melakukan pe­ngundian bermula 25 Mei sehingga 31 Mei lalu di 30 lokasi seluruh negara yang dilakukan di hadapan kontraktor terlibat.

“Malah wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wakil Jabatan Audit Negara (JAN)/Bahagian Audit Dalam Kementerian juga turut menyaksikan pengundian dilakukan,” katanya.

Menurut Alias, pihak­nya berhasrat untuk meneruskan kaedah pengundian pada masa depan setelah me­nerima maklum balas positif dalam kala­ngan kontraktor.

“Sebab ia dilakukan secara te­lus dan terbuka, maka semua kontraktor boleh mengetahui secara terus sama ada mereka di­pilih atau sebaliknya,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pemantauan terhadap pelaksanaan projek terbabit dilakukan oleh pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pengetua serta guru besar sekolah terlibat.

Jelasnya, projek penyelenggaraan mesti disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dan tindakan bakal diambil sekiranya ia gagal dilaksanakan.

“Dalam kerja penyelenggaraan sekolah, kita amat teliti dalam soal ini kerana ia melibatkan keselesaan murid dan pelajar, maka ia perlu di­siapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan, usaha kerajaan menerusi peruntu­kan itu adalah bertujuan menyelenggara kemudahan se­ko­lah yang rosak kerana rata-rata sekolah di negara ini sudah ber­usia lebih 20 tahun.

Setiap tahun, Kementerian Pendidikan menerima permohonan daripada sekolah dan institusi pendidikan untuk tujuan penyelengaraan dan penambahbaikan bagi memastikan sistem pembelajaran tidak terjejas termasuk mengelakkan berlakunya kecelakaan yang boleh meragut nyawa, katanya.

“Setiap tahun setiap sekolah memerlukan peruntukan dalam usaha memperbaiki kerosakan demi keselesaan murid dan pelajar.

“Maka Kementerian Pendidikan amat menitikberatkan soal ini demi masa depan para pelajar,” katanya.