Penyelaras pertandingan, Ahmad Nasir Awang berkata, pertan­dingan tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing dan Pejabat Agama Daerah Mersing.

“Pertandingan tersebut adalah sebahagian daripada program Mersing Berselawat: Malam Cinta Allah dan Rasul yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah.

“Pertandingan yang hanya disertai sekolah agama peringkat rendah ini diadakan adalah untuk menerap minat terhadap nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT sejak bangku sekolah lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Pertandingan dimenangi oleh Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Mersing yang me­nerima hadiah wang tunai RM500 sementara tempat kedua jatuh kepada Sekolah Agama Sawah Dato' (RM400) dan Sekolah Agama Tenggaroh 3 berada di tempat ketiga (RM350).

Majlis penyampaian hadiah di­sampaikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah, Saleem Saat.

Selain pertandingan nasyid, pelbagai program kerohanian dan aktiviti sampingan diisi sepanjang lapan hari karnival berkenaan berlangsung sehingga 1 November ini seperti Ceramah Maal Hijrah oleh Ustaz Badli Shah Alauddin, Kursus Pengurusan Jenazah Perdana, Kursus Smart Solat, Bengkel Wanita Anti Jenayah dan Seminar Pengurusan Bencana.

Sementara itu, beberapa aktiviti sampingan turut berlangsung bagi memeriahkan karnival berkenaan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, tayangan filem, pertandingan fesyen kanak-kanak, bola sepak jalanan dan pertanding­an kompang.