Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd. Razali Mustafar berkata, sembahyang antara salah satu pengisian utama pihaknya membina karektor warga sekolah khususnya murid-murid agar dapat mencegah daripada melakukan perkara negatif dalam mendepani dunia yang kian mencabar.

“Bagi kecemerlangan murid-murid, saya meletakkan lima fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Dalam pembinaan karektor itu, saya mahu setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkannya. Asalkan tepat kiblat, solat berkenaan boleh diadakan di dewan atau tempat yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Goh, Mat Zahari Deraman dan Guru Besar SK Bukit Goh, Siti Umihani Ahjarian.

Menurut Mohd. Razali, pihak­nya menyasarkan kira-kira 10 peratus daripada murid lelaki beragama Islam boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat ia­itu boleh membaca al-Quran de­ngan baik, menjadi imam, membaca doa selamat dan tahlil.

“Jika sebelum ini terdapat segelintir murid yang tidak pernah solat maka dengan penganjuran solat di sekolah ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan mereka tentang kewajipan sebagai orang Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, melalui perkembangan terkini pendi­dikan, beliau komited melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum tetapi berkemahiran.

Katanya beliau, penguasaan ICT dan kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris amat pen­ting dan mahu ramai pelajar mendapat A dalam subjek tersebut namun mereka tidak berani iaitu masih malu untuk bertutur.

“Justeru itu, melalui fokus ini kita mahu membina keyakinan agar mereka dapat bertutur dengan baik. Begitu juga dengan kemahiran ICT yang mereka boleh gunakan untuk memasarkan sesuatu barang atau perkhidmatan dalam usaha menjana pendapatan,” jelasnya.