SMK Bandar Tasik Puteri merupakan salah satu sekolah menengah yang dipilih untuk menyertai program mewakili daerah Gombak untuk Misi Gempur Denggi peringkat Selangor.


Program itu bertujuan mendidik dan menyemai nilai tanggungjawab di dalam diri murid supaya memahami risiko denggi serta bagaimana menanganinya.


Program itu juga bertujuan menjadikan murid-murid sebagai duta berpengaruh di dalam komuniti.


Sasaran utama program adalah bagi memberi kesedaran tentang bahaya denggi kepada warga sekolah dan penduduk setempat khusunya warga Taman Bandar Tasik Puteri.


Keterlibatan murid-murid Skuad Denggi SMK Bandar Tasik Puteri dalam pelbagai program kemasyarakatan setempat demi menyampaikan kempen Ambil Peduli Bahaya Denggi telah dilaksanakan secara aktif.

Antara program yang telah disertai oleh Skuad Denggi SMK Bandar Tasik Puteri adalah Program Gotong-royong Sukarela yang dijalankan di Puteri Central Park pada 10 Mac lalu melibatkan 45 orang sukarelawan.

Pada 16 Mac 2019 pula, skuad denggi berkenaan turut menjayakan Program Gotong-royong Komuniti Bebas Denggi di Parklane Heights, Bandar Tasik Puteri yang telah dirasmikan oleh Ahli Majlis, JC Jess Choy Pooi Yee.

Tidak berhenti disitu, Skuad Denggi SMK Bandar Tasik Puteri meneruskan kempen dan usaha dengan menyertai Program Gotong-royong Perdana di Blok Oak Blok 7, Bandar Tasik Puteri pada 17 Mac 2019 dan program ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Salehhudin Amirudin.

Di peringkat sekolah juga skuad itu telah melaksanakan Program Gotong-royong Sehijau Semetri pada 9 Mac lalu dan objektif utama dalam membersihkan kawasan daripada menjadi sarang nyamuk.

Skuad Denggi SMKBTP bukan hanya tertumpu pada gotong-royong sahaja malah Skuad Denggi SMKBTP juga berkempen melalui media sosial dan seni persembahan.

Mereka menubuhkan kumpulan Dikir Barat Skuad Denggi sendiri dengan menyampaikan kempen berkaitan bahaya denggi. - UTUSAN ONLINE