Yang Dipertua PIBG SMK Anderson, Ishsam Shahruddin berkata, selain menyemai budaya murni itu, pendekatan membaca secara beramai-ramai juga mampu menyuntik semangat membaca dalam kalangan pelajar.

Katanya, amalan membaca merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran sepanjang hayat dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelbagai golongan masyarakat di seluruh negara.

“Jika berhasrat untuk maju, kita mestilah membangun bersama-sama dari segi fizikal dan mental yang dicetuskan melalui tabiat membaca.

“Dengan terbentuknya masyarakat membaca, sekolah akan mempunyai warga pelajar yang minda aktif, kreatif, kritis dan berinovasi sekali gus mampu berfikir dan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif,” katanya dalam program berkenaan yang disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Hasni Hasshim di SMK Anderson, di sini hari ini.

Menurutnya, PIBG sentiasa berusaha membantu sekolah sama ada dalam bentuk kewa­ngan, idea mahupun sokongan bagi setiap program terutama yang mendatangkan manfaat kepada pelajar.

“Kerjasama erat semua pihak termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak amat dihargai dalam usaha menjadi Program Jom Membaca PIBG 2017 sebagai amalan dan budaya.

“Saya sangat menyokong semua program yang dapat melahirkan modal insan berkualiti seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.