Guru Besar SK Pos Senderut, Abd. Manaf Mat, berkata, Tutor juga dapat membantu para guru di sekolah itu memperoleh bahan bantuan mengajar bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

“Tutor merupakan suntikan elemen pembaharuan dalam PdP menerusi akhbar sekali gus menjadi rujukan kepada murid meningkatkan kemahiran berfikir berasaskan kepelbagaian bentuk soalan kerana kandu­ngannya menepati format pe­periksaan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang cakna membangunkan pelajaran murid Orang Asli di kawasan pedalaman khususnya untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR,” katanya di Pos Senderut dekat sini baru-baru ini.

SK Pos Senderut merupakan antara sembilan buah sekolah di daerah ini yang menerima akhbar pendidikan Utusan Malaysia itu di bawah tajaan Yapeim bermula April hingga Ogos ini membabitkan seramai 1,000 orang murid.

Sekolah lain yang menerima Tutor adalah, SK Titom, SK Lenjang, SK Kuala Medang, SK Betau, SK Batu Yon, SK Tanjung Gahai, SK Lanai dan Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Lipis.

Abd. Manaf berkata, Tutor dapat memberikan perangsang kepada murid Orang Asli untuk cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan sebagai nilai tambah ketika proses PdP menerusi bahan daripada akhbar Utusan Malaysia.

Sementara itu, Guru Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) SK Pos Senderut, Anu­ar­ Abu Bakar, berkata, Tutor merupakan antara korpus yang membantu penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan murid Orang Asli.

“Akbar pendidikan ini dijadikan bahan bacaan untuk memperkayakan kosa kata serta latihan membina ayat dan dicatat dalam buku Nilam bagi membolehkan guru mengetahui pencapaian murid berkenaan,” katanya.