Guru Pendidikan Islam sekolah itu, Abdullah Abdul Rahman, 39 berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi mengadakan aktiviti seumpama ini adalah baik kerana ia berjaya mengeratkan hubungan di antara guru-guru pelbagai kaum di negeri Kedah, amnya.

“Kita hantar satu laporan aktiviti kepada pihak penganjur dan tidak sangka pula ia dinilai dan memenangi hadiah,” katanya.

“Pihak kami memperkenalkan sistem belajar al-Quran dan pendidikan Islam menggunakan televisyen, banyak surah-surah diajar kepada murid berpandukan kepada sukatan pelajaran yang ditetapkan pihak kementerian,” katanya.

Antara hadiah yang diterima ialah komputer riba, TV 52”, mikrofon, Wifi HDMI dan banyak lagi.

Sementara itu, Pengurus Polisi, Kerajaan dan Hal Ehwal Awam Chevron Malaysia Limited, Mokhtar Ali Ismail berkata, pihaknya gembira kerana program di susun peringkat negeri Kedah berjalan lancar. Apatah lagi ia melibatkan peruntukkan RM129,045 untuk melaksanakan 27 projek sekolah dengan 1,000 orang murid.

“Sebelum ini, program sama telah berlangsung di beberapa negeri lain, termasuk Terengganu, Johor, Pulau Pinang di mana pelajar dan guru dapat memberi pelbagai pandangan bagi memperelokkan program itu,” katanya.

Kempen dilakukan selaras dengan inisiatif global Chevron iaitu, Energy For Learning di mana bertujuan untuk membantu masyarakat menimba pengetahuan serta kemahiran baharu yang menarik.

Beliau berharap banyak lagi sekolah di seluruh negara bakal menyertai program itu pada tahun hadapan.

Program ini turut mendapat kerjasama Yayasan MyKasih yang dipengerusikan oleh Pengarah urusannya, Jeffrey Pepera.

Mokhtar Ali menambah, sebanyak 12 sekolah berjaya mengemukakan pelbagai cadangan projek masing-masing melalui laman media sosial, Facebook dan yang dipilih akan menerima sumbangan bahan sehingga RM5,00O bagi satu-satu projek bilik darjah.