Lebih manis, Aiman dijulang sebagai tukang karut terbaik menerusi Anugerah Cikgu Sulizi yang merupakan tukang karut terkemuka dalam arena dikir barat.

Selaku johan, SK Islah membawa pulang hadiah wang tunai RM600 berserta sijil.

Tempat kedua pula disandang oleh SK Kubang Kerian 3 dengan wang tunai RM500 dan sijil.

Penyelaras Pertandingan Dikir Farmasi Junior 2018, Mohammad Aswady Adenan berkata, penganjuran tersebut bertujuan menyam­paikan maklumat me­ngenai ubat-ubatan secara santai menerusi seni dikir barat khususnya kepada murid sekolah.

“Pendedahan secara langsung ini mampu mendidik mereka supaya sentiasa waspada dan berhati-hati dalam pengambilan ubat-ubatan. Terutamanya penge­tahuan tentang ubat-ubatan yang tidak berdaftar kerana ia boleh memberikan impak cukup besar khususnya dalam aspek kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Aswady memberitahu, selain perihal ubat-ubatan, pertandi­ngan itu juga turut menyelitkan penerangan bahaya produk kecantikan yang tidak berdaftar di negara ini.

“Penerangan itu bertujuan supaya murid-murid ini pulang ke rumah dan berkongsi maklumat berkaitan ubat-ubatan dan kosmetik yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Pemilihan dikir barat dibuat kerana plaftrom tersebut dilihat lebih dekat dengan masyarakat di negeri ini. Malah, penera­ngan sebegini mudah melekat dalam minda masyarakat kerana ia didendangkan dalam bentuk lagu,” jelasnya.