Pada kejohanan itu, kontinjen sekolah berkenaan berjaya meraih enam pingat emas, lapan pingat perak dan tujuh pingat gangsa dengan jumlah markah keseluruhan 98 mata.

Tempat kedua dimenangi SK LKTP Bukit Besar yang memperoleh tiga emas, tujuh perak dan sembilan gangsa dengan 87 mata manakala SK Sinar Bahagia dengan tujuh emas, tiga perak dan dua gangsa dengan 69 mata berada di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah dan majlis penutup kejohanan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Turut hadir, Pengerusi MSSM Zon Tenggara, Kulaijaya, Jamaluddin Hassan.

Pada kejohanan itu, atlet dari SK Sinar Bahgia, Mohd. Haikal Abd. Karim, 12, dinobatkan sebagai olahragawan manakala olahragawati, atlet SK Sungai Sobol, Nurul Ain Natasya Aris, 10.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Stadium Mini Bandar Tenggara itu melibatkan 325 murid daripada 11 buah sekolah rendah yang menyertai 32 acara balapan dan padang.

Adham dalam ucapannya berkata, kegiatan sukan bukan sahaja penting kepada pembentukan individu tetapi juga bagi mewujudkan masyarakat yang sihat.

Menurutnya, menerusi temasya sukan itu, generasi muda dapat dididik dengan nilai-nilai hidup yang mampu membina sahsiah individu sekali gus membentuk komuniti dan masyarakat seimbang pelbagai aspek.

"Perkara ini amat bertepatan dengan Dasar Pelajaran Negara yang mampu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek," katanya.