Sekolah itu yang sebelum ini menduduki tempat ketujuh di peringkat kebangsaan pada keputusan SPM 2013, melonjak naik dengan prestasi amat cemerlang selepas memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) kepada angka 1.16.

Seramai 128 orang daripada 270 calon atau 47.4 peratus mendapat A dalam semua mata pelajaran di sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Sabuddin Sani berkata, kejayaan sekolah itu menduduki tangga pertama peringkat kebangsaan amat membanggakan seluruh warga sekolah dan rakyat negeri ini, apatah lagi menempatkan Negeri Sembilan sebagai `lubuk ilmu dan insan cemerlang pendidikan’.

“Kalau ditanya rahsia kejayaan, Saser tiada rahsia cuma program yang diaturkan adalah bersifat berterusan sejak peringkat awal yang mana dalam takwim sekolah, di minggu pertama persekolahan telah diadakan bengkel mata pelajaran.

“Selain itu, kita juga melihat ke­selesaan pelajar dari segi infrastruktur serta kemudahan penginapan, kelas serta surau dilihat menjadi penyumbang kepada kejayaan pe­lajar sekolah ini,’’ katanya.

Sementara itu, Kolej Tunku Kursiah di Bandar Enstek turut diumumkan sebagai sekolah kedua terbaik peringkat negeri dengan GPS ialah 1.66 diikuti Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja’far dengan GPS ialah 1.91.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan sebagai lima terbaik peringkat kebangsaan dalam pencapaian calon bagi SPM tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ber­kata, seramai 624 pelajar daripada 16,324 calon memperoleh semua A iaitu A+, A dan A- dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

“Gred Purata Negeri (GPN) yang diperoleh ialah 4.85 adalah sedikit merosot berbanding 4.70 pada 2013, namun kita berjaya mengekalkan kedudukan lima terbaik di peringkat kebangsaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 19 calon dari 12 sekolah kerajaan telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil,’’ katanya.

Bagi prestasi sekolah mengikut kawasan pula, Nilai Gred Purata Sekolah di kawasan luar bandar adalah 5.23 berbanding 5.04 pada 2013 dengan peratus calon yang layak mendapat sijil adalah 81.9 peratus berbanding 84.1 peratus sebelumnya.

Sekolah kawasan bandar pula mencatatkan nilai purata gred 4.61 berbanding 4.48 dengan bilangan pelajar cemerlang seramai 502 orang berbanding 555 pada tahun sebelummya.

“Peratus calon yang layak mendapat sijil bagi sekolah kawasan bandar adalah 85.7 peratus pada tahun lepas berbanding 86.2 peratus pada 2013.

“Justeru, jurang antara bandar dan luar bandar kekal sebagaimana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu 0.6 dan keputusan itu masih dalam julat yang kita harapkan,’’ katanya.