Menurut Guru Besarnya, Naemah Ismail, pihaknya bersyu­kur dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah meluluskan permohonan sekolah tersebut untuk menambahbaik dan menyenggara sistem pendawaian elektrik di sekolah itu.

Beliau berkata, sebagai antara sekolah tertua di Putrajaya beberapa kerosakan melibatkan sistem pendawaian elektrik sering berlaku dan boleh menjejaskan tumpuan murid ketika pembelajaran.

“Sebelum ini apabila berlaku kerosakan dalam skala kecil, pihak sekolah akan menggunakan dana yang diperoleh daripada Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini.

“Namun, sele­pas Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah ini antara penerima peruntukan PPKHAS, pelbagai kerosakan dalam skala besar yang sering berlaku akan dapat diselesaikan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam Bajet 2017 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sejumlah RM500 juta akan diperuntukan untuk menambahbaik dan menyenggara sekolah serta premis institusi pendidikan.

Langkah itu diambil bagi memastikan sistem pembelajaran murid-murid tidak terjejas dan bagi mengelakkan berlakunya kecelakaan yang boleh meragut nyawa murid dan orang awam.

Sebanyak 8,171 projek melibatkan 6,697 sekolah telah dikenal pasti untuk dilaksanakan PPKHAS meliputi skop kerja pendawaian elektrik, peralatan pencegahan kebakaran, rawatan anai-anai dan penambahbaikan pagar sekolah.

Naemah berkata, selain membaik pulih sistem pendawaian elektrik, sekolah tersebut turut menerima peralatan pencegahan kebakaran dan peruntukan bagi menambahbaik pagar sekolah.

Katanya, penggantian peralatan pencegahan kebakaran itu penting bagi memastikan sistem tersebut berfungsi dengan baik ketika berlakunya hal-hal kecemasan atau kebakaran.

“Peralatan pencegahan kebakaran yang berada dalam ke­­­adaan baik bukan sahaja dapat menyelamatkan bangunan sekolah daripada mengalami kerosakan teruk tetapi yang paling penting dapat menyelamatkan nyawa murid-murid.

“Penambahbaikan pagar baharu pula boleh mengelakkan sekolah ini daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus memastikan keselamatan murid-murid terjamin,” katanya.