Guru Besar SAR KAFA Alif, Rosli Ahmad berkata, sehingga kini, kira-kira RM50,000 dikum­pul menerusi sumbangan orang ramai, namun masih belum mencukupi untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan sekolah itu dijalankan.

Katanya, bagi memulakan pembinaan bangunan sekolah dua tingkat itu, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 sebagai permulaan.

“Kita memerlukan RM200,000 bagi membina rangka sekolah terbabit, namun jumlahnya masih belum mencukupi, tetapi harapan pihak sekolah kita dapat mengumpul jumlah wang terbabit pada tahun ini.

“Kita sudah dapat semua kelulusan termasuk dari Pejabat Agama Islam Daerah yang memberikan kebenaran untuk kami mengutip derma. Jadi kita me­ngalu-alukan sumbangan orang ramai,” katanya di sini baru-baru ini.

Bangunan sekolah yang bakal dibina itu boleh memuatkan 15 bilik termasuk 12 unit kelas, bilik guru, bilik pentadbiran dan mudir, pusat sumber dan dewan terbuka serta kantin sekolah.

Rosli berkata, buat masa kini, sekolah tersebut terpaksa me­num­pang tiga unit bangunan ke­dai dan surau lama yang telah diubahsuai untuk dijadikan bilik kelas yang selesa dan berhawa dingin.

“Kita hanya menerima murid seramai 220 orang pada tahun ini. Bagi pihak sekolah, kita memang hendak mengambil ramai murid tapi memandangkan tempat yang sempit, kita terpaksa menghadkan pengambilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pembinaan sekolah baharu itu perlu dilaksanakan ke­rana sudah sampai masanya SAR KAFA Alif mendapat tapak lebih selesa serta kekal.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 06019010087343 atau CIMB 8602985533 atas nama SAR KAFA Alif atau menghubungi Mistam Sarbini di talian 0139376216 atau Rosli (0199326365).