Jika diimbas kembali usaha kerajaan dalam membentuk sistem pendidikan nasional ke arah kemenjadian pelajar adalah amat besar sejak negara mencapai kemerdekaan.

Bermula daripada bangunan sekolah yang hanya beratapkan zink dan berdindingkan papan, tetapi hari ini kita boleh melihat sendiri infrastruktur sekolah yang berkembang pesat seiring Wawasan 2020.

Namun begitu, terdapat sekolah-sekolah yang berusia lebih 50 tahun kini berhadapan masalah penyelenggaraan dan kerosakan sekali gus memerlukan usaha penambahbaikan.

Saban tahun setiap sekolah memerlukan peruntukkan dalam usa­ha memperbaiki kerosakan demi keselesaan murid dan pelajar.

Sehubungan itu, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017, beliau mengumumkan peruntukkan berjumlah RM500 juta bagi Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

Tabung khas itu meliputi:

* RM250 juta untuk Sekolah Kebangsaan (SK).

* RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

* RM50 juta Sekolah Jenis 
Kebangsaan Tamil (SJKT).

* RM50 juta untuk sekolah mubaligh.

* RM50 juta bagi Sekolah 
Berasrama Penuh (SBP).

* RM50 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, Kementerian Kewangan pada 1 Mac lalu telah meluluskan untuk membenarkan pihaknya melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah me­nerusi peruntukan diumumkan Perdana Menteri.

Katanya, projek itu diberi nama Projek Penambahbaikan dan Pe­nyenggaraan Se­kolah Meng­gu­nakan Peruntukan Tabung Khas (PPKHAS) 2017.

Jelasnya, terdapat 10,180 sekolah di ba­wah Kementerian Pendidikan dengan 80 peratus daripadanya berusia lebih 20 tahun dan memerlukan penambaikan.

“Saya dimaklumkan bagi sekolah berusia lebih 20 tahun, ia memerlukan pendawaian yang baharu.

“Itu baru satu masalah yang melibatkan pendawaian, sebenarnya terdapat banyak lagi perlu dilihat oleh pihak kementerian berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan menerusi PPKHAS 2017, skop di bawah pelaksanaan projek itu diperincikan kepada lima aspek:

* Pendawaian elektrik

* Peralatan pencegahan 
keba­karan

* Rawatan anai-anai

* Penambahbaikan pagar sekolah

* Menyenggaraan tangki air

“Jadi kita memulakan de­ngan peruntukan sebanyak RM300 juta meliputi SK, SBP dan SABK, manakala SKJC serta SKJT di­uruskan oleh lembaga pengelola masing-masing.

“Peruntukan ini hanya untuk 2017 dan projek ini mesti disiapkan pada tahun ini juga,” katanya.

Alias berkata, PPKHAS 2017 bukan sahaja meliputi sekolah di bandar, tetapi di luar bandar yang juga terkesan dengan ke­rosakan sekali gus memerlukan penambahbaikan.

“Kerajaan mahu semua insfrastruktur sekolah ditambah agar setiap pelajar merasai ke­selesaan ketika waktu pembelajaran.

“Langkah ini sejajar hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada rakyat.

“Soal ini termasuklah urusan penambahbaikan kemudahan se­kolah,” terang Alias.