Sebelum ini, kira-kira 80 murid serta empat tenaga pengajar sekolah agama itu terpaksa menjalani proses pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara.

Namun, pembinaan sebuah blok yang mengandungi enam kelas dan dewan terbuka itu pastinya memberi lebih keselesaan kepada mereka.

Guru Besar sekolah berkenaan, Nor Azali Mohd. Musa berkata, pi­haknya gembira dan bersyukur dengan pembinaan sekolah tersebut kerana tidak lagi perlu menumpang di sekolah lain untuk memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak di kawasan itu.

“Setelah siap kelak, kami mempunyai pelbagai perancangan yang tertangguh sejak sekian lama dan ia termasuklah pendidikan secara lebih sistematik selepas ini.

“Kami juga menyediakan pelbagai aktiviti kepada pelajar antaranya pembelajaran dengan menggunakan pu­sat sumber yang disediakan menggunakan komputer dalam sesi mengajar,” katanya dalam Majlis Pecah Tanah dan Kesyukuran Pembinaan Baharu Seko­lah Agama Merlong, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rengit, Ayub Jamil.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Zainal Abidin Zakaria.

Sementara itu, Ayub berkata, pembinaan sekolah agama itu termasuk dalam fasa kelima pembinaan sekolah agama kerajaan Johor dan satu-satunya pembinaan sekolah berkenaan di daerah ini untuk fasa terbabit.

Katanya, pembinaan Sekolah Agama Merlong bermula akhir bulan lalu dan mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan dengan kos dianggarkan hampir RM4 juta.

“Sekolah agama ini dibina di atas tanah seluas dua ekar dengan direka dengan seni bina yang terkini berbanding dalam fasa-fasa sebelumnya.

"Selain memiliki pusat sumber sendiri, sekolah ini juga akan dilengkapi kemudahan asas lain seperti bilik guru, surau, kelas, kantin dan beberapa kemudahan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berunding dengan ibu bapa Sekolah Agama Rengit untuk memindahkan sebahagian murid ke Sekolah Agama Merlong apabila siap kelak bagi menjamin lebih keselesaan mereka.