Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip berkata, seramai 68 pelajar dari empat sekolah di daerah ini yang terdiri daripada anak pekebun kecil terpilih mengikuti Program Tuisyen Rakyat oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Sekolah yang terpilih untuk menjalankan program tersebut yang memasuki tahun ke-10 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jementah, SMK Bandar Putra, SMK Datuk Ahmad Arshad dan SMK Kamarul Ariffin di Labis.

“Risda telah memperuntukkan RM50,000 kepada empat sekolah tersebut dan setiap sekolah menerima bantuan seba­nyak RM12,500 dengan bayaran dilakukan secara bulanan, iaitu RM1,250 dari Januari hingga Oktober,” katanya selepas merasmikan Seminar Motivasi Tuisyen Rakyat Peringkat Daerah Segamat 2017 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Risda negeri, Ahmad Fahmi Shukor; Pegawai Risda Segamat, Nor Afzami Isa dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Fauzi Sabran.

Zahari berkata, tumpuan diberikan dalam subjekteras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sejarah yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar luar bandar dalam bidang akademik.

Menurutnya, peruntukan yang diberikan oleh RISDA untuk program pendidikan seperti itu turut membuktikan agensi tersebut peka terhadap kepentingan pendidikan anak-anak pekebun kecil di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, program tersebut merupakan penjenamaan semula terhadap Program Tuisyen Desa RISDA sebelum ini dan di negeri ini terdapat 29 sekolah luar bandar yang menerima bantuan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM362,500.

“Pelaksanaan progam ini secara khususnya menyasarkan pelajar berprestasi sederhana dan lemah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM3,500 sebulan yang akan menduduki SPM,’’ ujarnya.