Aznordin Jahan
Aznordin Jahan

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Daerah Kuala Nerus, Aznordin Jahan berkata, CIDS adalah satu inovasi yang amat tepat dengan kehendak persekitaran peran­cang­an pengajaran masa kini.

“Sistem ini memudahkan pemantauan di samping memudahkan perancangan guru sekali gus mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas taklimat CIDS di Dewan Kuliah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Taklimat oleh pengasas CIDS, Dr. Ismail Zain ini disertai 200 orang yang terdiri daripada guru besar, pengetua, pegawai pejabat pendidikan daerah dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Menurut Dr. Ismail, CIDS menggabungkan pelbagai ele­men yang diperlukan dalam merancang PAK-21 secara dalam talian yang membolehkan penggunanya merancang dan memantau di mana sahaja mereka berada tanpa sempadan selagi ada capaian Internet.

“Dengan sistem mesra pengguna ini, guru bukan sahaja mampu merancang pengajaran malah boleh berkolaborasi antara satu dan lain seperti berkongsi rekod perancangan, mencari rekod, me­nyalin rekod, menyunting rekod, me­muat naik bahan pengajaran, memuat naik bahan refleksi, meng­hubungi rakan melalui sembang maya,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya, guru juga boleh mewujudkan komuniti dalam Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) termasuk golongan bukan guru untuk mendapat maklumat kaitan antara topik pembelajaran dengan kehendak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja pelajar pada masa depan.

“Untuk pentadbir pula, mereka bo­leh memantau, membimbing dan mengesahkan perancangan gu­ru secara lebih komprehensif dan sistematik,” ujar Dr. Ismail.

Menurut beliau, CIDS adalah satu-satunya sistem dalam talian masa kini yang bukan sekadar menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) digital tetapi berlandaskan prinsip-prinsip bidang reka bentuk pengajaran sebagai salah satu cabang dalam domain teknologi pendidikan.

“Malah, CIDS juga memenuhi keperluan pelbagai aspirasi seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2, Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan beberapa keperluan lagi untuk guru merancang pengajaran,” katanya.

Untuk maklumat lanjut me­ngenai CIDS, hubungi 019-5713745 atau layari https://asiemodel.net.