Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, program itu diadakan sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menyebarluas maklumat mengenai pembangunan pendidikan di negara ini yang telah dicapai ketika ini melalui pelaksanaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Program Jelajah Pendidikan KPM 2017 ini merupakan siri keempat yang diadakan secara bulanan mengikut negeri dalam tahun ini selepas penganjuran pertamanya diadakan di Melaka pada Januari lalu.

"Selaku tuan rumah, Jabatan Pendidikan Selangor telah merangka pelbagai aktiviti pengisian bagi memeriahkan lagi program jelajah ini antaranya persembahan daripada para pelajar daripada 18 buah sekolah di negeri ini.

"Pada masa sama, kita juga membuka 32 gerai yang dikendalikan bahagian-bahagian di bawah Jabatan Pendidikan Selangor yang dijangka akan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai input-input bermanfaat serta khidmat nasihat mengenai sistem pendidikan negara termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan sekolah serta aktiviti kokurikulum," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Salleh, Program Jelajah Pendidikan KPM itu dibuka kepada orang ramai bemula pukul 10 pagi sehingga pukul 10 malam manakala perasmian penutupnya nanti akan disempurnakan  Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan pada Ahad ini pada pukul 12 tengah hari.

"Program jelajah ini sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam usaha kita memperkasakan sistem pendidikan negara," ujarnya yang menjangkakan kira-kira 20,000 pengujung akan hadir sepanjang berlangsungnya program itu.-UTUSAN ONLINE