Kami ke Sarawak dulu, sebelum ke Kuala Lumpur dan Selangor. Sehingga artikel ini ditulis, lebih kurang 120,000 guru telah menerima Tablet Guru dengan perisian Tutor Guru dan e-Paper.

Pasukan Intervensi yang turut diiringi Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, bekas pensyarah cemerlang Jusa B, turun padang ke Kuching, berintervensi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang dan Kolej Vokasional Kuching.

Ismail ialah teras minda kepada pembangunan Tutor Guru dan konsep Lembaran Kerja Digital yang secocok dengan konsep kolaboratif, komunikatif, kreatif dan kritikal (4C) dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Namun, hasrat ke SMK Bandar Samariang tidak kesampaian kerana penerbangan terkandas di Sibu hampir lima jam. Sekolah tidak dapat menangguhkan lagi temu janji kerana sibuk dengan raptai dan sambutan Hari Guru 2017 pe­ringkat sekolah. Kami akur dengan ketentuan-Nya.

Mujur Kolej Vokasional Ku­ching sedia menerima kami. Terima kasih, kerana jika tidak kami pulang dengan tangan kosong tidak sempat berkongsi ilmu di Bumi Kenyalang.

Sebelum ‘terbang’ ke Sarawak, kami sempat melakukan kajian keperluan terhadap pola penggunaan Tutor Guru, e-Paper, dan mula bermain-main dengan fakta dan pelbagai andaian.

Apa sahaja tentang projek Tablet Guru, termasuk suara-suara nakal yang ‘terkeluar’ dalam laman sosial, seperti cubaan menunjuk cara rakan-rakan guru lain bagaimana menyahfungsi beberapa aplikasi yang dipasang dengan sengaja oleh kerajaan, kami ambil kira dalam kajian keperluan.

Kami melihatnya dari perspektif yang sihat dan positif bagi tujuan penambahbaikan, dan sudah tentu menyediakan kewajaran kenapa kerajaan berbuat demikian ketika berdepan secara empat mata kelak.

Fungsi setting yang dinyahfungsi nampaknya telah diviralkan dengan sentimen yang negatif, manakala beberapa perisian sekuriti seperti Mobile Device Management (MDM) bertujuan memantau, mengurus dan melindungi tablet dilabel sebagai sangat ‘mengecewakan.’

Ada yang mencuba, berjaya, dan akhirnya mereka ‘terkeluar’ daripada ‘radar’ Kementerian Pendidikan Malaysia. Sikap ini sangat mementingkan diri sendiri kerana boleh menyebabkan rakan di negeri lain yang masih belum menerima tablet, berisiko tidak menerima nikmat yang sama.

Bagi tujuan membangunkan modul intervensi, sudah tentu kami meneliti berapa ramai pendidik yang menerima kad akses log masuk dan mula menggunakan tablet, atau mungkin mengambil inisiatif membaca manual yang disediakan – atau langsung tidak mahu ambil tahu.

Mujurlah statistik kami ada menunjukkan pola penggunaan guru ketika berinteraksi dengan aplikasi Tutor Guru yang sebenarnya adalah teras kepada projek pembekalan tablet ini.

Kami dapati terdapat peningkatan statistik yang agak baik dari segi bilangan guru yang mula berjinak-jinak dengan aplikasi Tutor Guru.

Terbaru, terdapat 6,450 lembaran kerja yang telah dibuat menggunakan aplikasi berkenaan secara inisiatif diri sendiri, dan jumlahnya makin meningkat setiap minggu.

Tetapi tahap manipulasi lembaran kerja digital masih rendah. Kami tidak dapat memahami puncanya, sama ada guru tidak tahu wujudnya aplikasi Tutor Guru yang dipakej sekali dalam projek ini, atau mereka tidak berminat dengannya, atau mereka tidak mendapat penjelasan secukupnya tentang aplikasi Tutor Guru.

Hampir kesemua guru hanya berminat menggunakan soalan kefahaman topikal, iaitu satu daripada tiga segmen kritikal dalam pembikinan lembaran kerja bercirikan abad ke-21 yang dibangunkan khusus dalam aplikasi Tutor Guru.

Di sinilah menunjukkan pen­tingnya program intervensi ini.

Sekolah secara suka rela perlu menawarkan diri untuk mengikuti program ini.

Lihat sahaja bukti di Kolej Vokasional Kuching.

Hanya setelah kami selesai melakukan intervensi Tutor Guru dan e-Paper di Kolej Vokasional Kuching, barulah segelintir guru yang sebelum ini tidak peduli pun tentang kad akses, atau hilang kata laluan dan kata kunci, beriya-iya benar bertanya, “bagaimanakah kami hendak mendapatkan semula kad akses…”.

Bukan sahaja dari segi pedagogi, pakej ini sangat membantu dalam urus tadbir seperti menyediakan dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

Sedikit melegakan kerana kini e-Paper adalah rakan akrab guru di sekolah itu, yang menjadikan hari tidak sempurna tanpa membaca e-Paper.

Soalan pertama yang ditujukan ketika kami bertandang ke bilik Timbalan Pengarah Akademik Kolej, Mohd Amin Mohamed Noor, “guru di sini baca e-Paper Utusan Malaysia sejak dapat tablet. Berapa lama dapat (baca) percuma?’’

Jawapannya ialah, “5 tahun.”

Senang sekali hati kami de­ngan keghairahan itu, khusus­nya ketika menjalankan program intervensi.

Sesi Tutor Guru dipenuhi de­ngan teori dan pendekatan sebenar aplikasinya, dan bagi e-Paper, sudah tentu aplikasi Akhbar Dalam Pembelajaran mengikut konsep bacaan luas dan tema PAK-21.

Tablet Guru merupakan hadiah pemberian Kerajaan Malaysia kepada guru sebagai gajet untuk mengakses Internet dan mencari bahan Pembelajaran dan Pemudah Cara (PdPC) yang dilengkapi dengan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper.

Tablet Guru ini tidak perlu dipulangkan.

Terimalah pemberian peribadi yang menjadi hak milik kekal ini sebagai sesuatu yang istimewa, bukan seperti telefon peri­badi kita yang lain.

Tidak perlu berduka cita kerana fungsi setting dinyahaktifkan, kerana fungsi sebagai tools pendidik telah diperhebat, sesuai dengan objektif pemberiannya.

Sebenarnya, kemampuan spe­­­sifikasi tablet untuk memuat tu­run pelbagai aplikasi daripada sumber Google Play Store adalah tinggi kerana tablet itu mempu­nyai kemampuan simpanan 16GB, Memori 1GB dan versi Android yang terkini, iaitu 5.0 Lollipop, yang boleh dinaik taraf sehingga versi 6.0 Marshmallow!

Tablet ini telah dilengkapi dengan aplikasi Tutor Guru untuk kegunaan guru mencari soalan latihan dan Internet yang sesuai dengan topik yang diajar di sekolah rendah dan menegah bagi subjek teras manakala aplikasi e-Paper Utusan Malaysia pula boleh dibaca tanpa memerlukan akses Internet. Hanya pada peringkat permulaannya sahaja akses Internet diperlukan untuk tindakan memuat turun akhbar.

Langganan e-Paper berlangsung selama 5 tahun, begitu juga Tutor Guru.