Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan meminta bantuan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengenal pasti sekolah-sekolah berkenaan manakala di peringkat kementerian pula akan mencari kaedah pelaksanaannya.

Katanya, penggunaan tanpa tunai dan kad debit merupakan sebahagian teknologi dalam dunia masa kini yang sewajarnya didedahkan kepada para pelajar di peringkat awal lagi.

"Saya fikir (penggunaan tanpa tunai) ini sesuai dilaksanakan di koperasi untuk membeli peralatan sekolah. Kalau di kantin mungkin masih sukar dilaksanakan kerana tempoh masa rehat yang singkat dan bilangan pelajar ramai (sekali gus) dan harga jualan tidak tetap.

"Namun apa yang penting adalah untuk kita mendedahkan kepada para pelajar tentang dunia ini (tanpa tunai)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi serta majlis santai bersama para pesara guru di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid dan ADUN Kuah, Norsaidi Nanyan.

Terdahulu, Mahdzir mengadakan program walkabout ke Kolej Vokasional Langkawi bagi meluluskan pemberian sebanyak 200 buah katil asrama bagi kegunaan seramai 400 orang pelajar di situ dan pembaikan kemudahan di Sekolah Menengah Mahsuri.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada sekolah-sekolah di Langkawi untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, negeri ini telah diperuntukkan sebanyak RM33 juta daripada RM500 juta di bawah Projek Penambahbaikan dan Penyenggaraan Sekolah Menggunakan Peruntukan Tabung Khas ( PPKHAS). - UTUSAN ONLINE