Guru Pengawas, Sumiza Serman berkata, tujuan program adalah untuk memberi pendedahan kepada barisan pengawas, warga sekolah dan masyarakat sekeliling tentang kepentingan melaksanakan kerja-kerja amal, memupuk kasih sayang serta budaya bersedekah.

Beliau berkata, program yang mendapat sokongan penuh Pe­ngetua, Norasimah Ab. Rasid itu didukung usaha keras 40 pengawas yang bertungkus-lumus selama seminggu mengumpulkan pakaian dan barangan termasuk perkakasan elektrik seperti kipas dan mesin pengisar, pinggan mangkuk, beg dan bahan bacaan.

“Pihak kami menguar-uarkan kepada seluruh warga sekolah jika ada sesiapa yang ingin sedekahkan baju kurung, tudung, kemeja, seluar dan sebagainya kepada program ini.

“Barisan pengawas bukan sahaja mengumpul barangan dan mengasingkan mengikut kategori malah turut menggosok pakaian yang diterima supaya berada dalam keadaan terbaik.

“Sebagaimana kita maklum, konsep ‘pasar percuma’ adalah kita memberi tanpa rasa prasangka kepada semua penerima dan ‘bayaran’ diperlukan hanyalah senyuman dan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Sumiza, program itu dilaksanakan bermula awal Julai iaitu kali pertama semasa Pesta Kokurikulum (Pesko) 2017 dan Hari Terbuka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Beliau berkata, agihan turut dilaksanakan di lokasi luar se­perti Sekolah Rendah Islam (SRI) Aman Wakaf Bharu dan Masjid SBJ Putra , Pasir Pekan di sini.

Sementara itu, Penolong Ketua­ Pengawas, Ainin Sofiya Mohd. Rozaini, 16, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya terlibat dalam program sedemikian.

“Selalunya saya membaca dalam media sosial mengenai pasar percuma dan tidak sangka berpeluang melaksanakannya sendiri di sekolah kami,” katanya.

“Walaupun penat dan terasa pening apabila melihat barang yang sangat banyak terkumpul tetapi hasil kerjasama semua rakan kami berjaya melakukannya, kami juga belajar berinteraksi dengan penuh hormat dengan ‘pelanggan’ yang datang,” katanya.