Bagi merealisa­sikan da­sar pendidikan mengi­kut acuannya, kerajaan melalui agensi-agensinya te­lah me­lak­sanakan pelbagai usaha untuk memperkasakan perkhidmatan pen­didikan di negara ini.

Selain meningkatkan kualiti pen­­didikan dalam kalangan penduduk desa dan luar bandar, tumpuan turut diberikan kepada masyarakat bandar yang semakin dihimpit kenaikan kos sara hidup.
Bagi pelajar-pelajar dari Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Selangor, membesar da­lam latar belakang keluarga berpendapatan sederhana tidak pernah menghalang hasrat cita-cita menjadi pelajar cemerlang.
Lebih istimewa apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Lembah Subang (SMK Lembah Subang) diangkat menjadi salah sebuah daripada 83 sekolah Program Sekolah Amanah (PSA).
PSA­ yang dilancarkan pada 2010 adalah usahasama awam-swasta antara Kementerian Pendidi­kan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd. dan Yayasan AMIR yang bertujuan mewujudkan model transformasi sekolah untuk dijadikan contoh di seluruh negara. Manakala Yayasan Hasanah pula ditubuhkan dua tahun lalu untuk menerajui usaha tanggungjawab korporat (CR) termasuk menjayakan   PSA melalui Yayasan AMIR.
Bagi pelajar tingkatan lima, Nur Alya Natasha Mohd. Yaakob, pelbagai kaedah pem­belajaran me­narik diperkenalkan sejak dua tahun lalu untuk meningkat­kan prestasi akademik pe­lajar.
Antara konsep pem­be­lajaran ber­kenaan  ter­­masuk pe­­ngenalan pe­­ta minda i-think yang membantu pelajar memahami dan meng­­hafal maklumat de­ngan le­bih mudah dan berkesan.
“I-think adalah peta minda yang menggunakan struk­tur po­kok sebagai memori visual.
“Begitu juga dengan penggunaan papan putih oleh setiap pelajar sebagai salah satu medium komunikasi dengan guru di dalam kelas,” katanya kepada  Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Nur Alya Natasha berkata, konsep pembelajaran di dalam kelas juga menerapkan dua ‘rumusan’ penting pada setiap hari yang menetapkan objektif pem­belajaran dan kriteria kejayaan.
“Cara ini banyak membantu pelajar lebih fokus pada sesuatu topik yang diajar oleh guru dan lebih mudah faham,” ujarnya yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan PT3 pada 2015.
Bagi Afig Iskandar Adres, 17, perubahan ketara selepas pelaksa­n­­­aan PSA termasuk peluang untuk pelajar menonjolkan diri dalam pelbagai bidang.
Katanya, salah satu daripadanya adalah penubuhan Kumpulan Untuk Bersuara (Student Voice Group) yang memupuk konsep kepe­mimpinan.
Afig berkata, selain menjadikan pembelajaran dalam kelas lebih menyeronokkan, PSA juga berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap sekolah itu.
“Kami ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa kami anak-anak PPR Lembah Subang juga mampu menjadi pelajar yang cemerlang,” ujarnya yang meme­gang jawatan Pengerusi Kadet Remaja Sekolah, Pengerusi Kriket sekolah, Naib Pengerusi Persatuan Matematik dan Sains.
Sementara itu, Adlina Amran, 17, mengakui program PSA ba­nyak membantu meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti pembentangan dalam kelas.
“Dahulu saya seorang yang pemalu di khalayak umum tetapi sekarang saya sudah boleh memberi ucapan di perhimpunan sekolah,’’ katanya.
Selain bantuan guru-guru untuk menjadikan pelajar berani menonjol, Adlina juga mene­rima pendedahan melalui pelbagai program PSA anjuran Yayasan AMIR antaranya program Rangkaian Sekolah Amanah (Rasa).
“Pengalaman bertemu pelajar dari sekolah lain banyak memberi pendedahan baharu, bertukar-tukar pendapat dan mengeratkan hubungan antara sekolah.
“Program Rasa yang diadakan di Lumut, Pe­rak baru-baru ini melibatkan 15 buah sekolah PSA dari seluruh negara,’’ ujarnya yang memegang jawatan Bendahari Kadet Remaja Sekolah, Bendahari Persatuan Bahasa Inggeris, Pengerusi Permainan Dalaman dan Naib Pengerusi Pusat Sumber Sekolah.