Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program pendidikan negara yang sistematik ditambah dengan kepercayaan tinggi menyaksikan 24 pelajar dari Thailand ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dekat sini.

“Penempatan pelajar itu adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dengan kerajaan Thailand sejak lapan tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Labu, dekat sini hari ini.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar Thailand itu untuk mendapati pendidikan kebangsaan serta mendalami ilmu Islam di sekolah terpilih di negara ini, malah berpeluang mempelajari budaya dan kehidupan rakyat tempatan.

“Program pendidikan ini harus dipuji dan adalah diharap pelajar tersebut dapat memanfaatkan ilmu yang diterima khususnya di SMAP Labu ini,” ujarnya.

Asyraf Wajdi yang merupakan bekas pelajar SMAP Labu dari 1989 hingga 1993, berada di sekolah itu hari ini untuk meraikan pelajar sekolah itu pada Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Tambah beliau, adalah menjadi harapannya supaya program itu dapat diteruskan demi memastikan rakyat terutama di kawasan selatan Thailand yang beragama Islam mendapat pendidikan sewajarnya.

“Mereka (pelajar Thailand) ini cukup bertuah kerana dapat belajar di negara ini dan kita mengharapkan apabila tamat pembelajaran mereka dapat meneruskan pelajaran sekali gus memperluaskan ilmu diperoleh kepada masyarakat Islam di negara asal,” katanya.

Difahamkan, SMAP Labu telah menjalankan program itu sejak lapan tahun lalu dalam dua sesi pengambilan dan sehingga kini terdapat antara pelajar dari selatan Thailand telah mendapat keputusan cemerlang pada SPM yang lalu.

Dalam majlis itu, Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan RM5,000 daripada Yadim kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAP Labu untuk pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.

Antara penerima anugerah cemerlang itu ialah pelajar dari Thailand, Tusnim Waeto yang memperoleh 11A dalam SPM selain Hannan Afifah Mat Yusof (11A, SPM) dan Anis Syamira Gustar Affendi (4A, STPM).