Pengetuanya, Noor Lailah Muhammad Zain berkata, Tutor sangat membantu pelajar dan guru-guru dalam usaha mencari bahan sampingan yang dapat menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Tutor ini bagus kerana boleh menjadi nilai tambah serta bahan rujukan bagi pelajar mengetahui kepelbagaian bentuk soalan kerana kandungannya menepati format peperiksaan. Bahkan, ia membantu program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di sekolah.

“Saya tidaklah mewajibkan pelajar untuk melanggan Tutor, ia terpulang kepada pelajar secara sukarela untuk membeli akhbar itu. Namun, saya dapati pelajar lain berminat untuk melanggannya apabila melihat kawan-kawan mereka menjawab soalan di akhbar berkenaan yang mudah dibawa ke mana-mana,” katanya selepas Majlis Pelancaran Langganan Tutor di sini hari ini.

Yang turut hadir Eksekutif Pemasaran (Pendidikan) Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Zulfadhli Sofian dan Eksekutif Jualan Pemasaran, Mohd. Firdaus Ahmad Sabli.

Dalam pada itu, Pengawas Pusat Sumber, K. Reeshna, 15, berkata, dia sangat gembira kerana menerima akhbar Tutor bagi membantunya menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.

“Saya sangat meminati soalan Bahasa Ing­geris dan Matematik yang terdapat di dalam Tutor. Malah, saya juga boleh menjawab soalan di mana-mana kerana ringan dan mudah dibawa,” katanya.

Seorang lagi pelajar tingkatan lima, Lee Xin Row, pula menyukai Tutor kerana boleh menggunakan sebagai bahan perbincangan.

“Selain PdP di sekolah dan mengikuti kelas tambahan di luar, saya juga boleh menggunakan Tutor sebagai bahan ulang kaji dan boleh berbincang bersama rakan-rakan,” katanya.