Muhammad Danish Syafi yang dibantu rakannya, Amirul Haziq Mohd. Shamsudin mencipta kejayaan itu menerusi alat pemberi makan kucing menggunakan te­naga solar.

Menurutnya, inovasi alat pemberi makan kucing menggunakan tenaga solar menarik tumpuan juri pertandingan kerana mampu menyelesaikan masalah pencinta kucing semasa mereka tiada di rumah.

“Dengan bantuan Amirul Haziq dan percambahan idea bersama-sama ahli keluarga maka tercipta inovasi sebuah kotak makanan yang disambungkan pada litar kawalan elektrik, alat pengimbas dan panel suria sebagai bekalan tenaga.

“Idea menghasilkan ciptaan ini juga tercetus apabila kami memikirkan kaedah terbaik bagi memastikan lapan ekor kucing peliharaan tidak terabai kerana terpaksa ditinggalkan untuk bercuti,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Produk tersebut berfungsi apabila kucing mendekati alat pengimbas lalu mengeluarkan makanan secara automatik dalam jumlah yang ditetapkan.

Muhammad Danish Syafi berharap produk itu memperoleh penajaan dana agar dapat diko­mersialkan.

Murid tahun 6 itu terpilih menyertai WICC menerusi penajaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) selepas muncul pemenang Ka­te­gori Utama dalam Simposium Inovasi dan Pembelajaran Kajian Kejuruteraan (PERLIS 3.0) pada Mei lalu.

WICC kali keenam yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association (KUIA) itu merupakan platform penyelidikan khusus yang menghimpunkan inovasi pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh dunia.

Selain SK Putra, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) dari Perlis turut mencipta nama dalam WICC dengan membawa pulang dua pingat emas.