Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan mereka dapat mendepani cabaran masa depan.

Menurutnya, model baru pendidikan MARA juga telah diubah dengan memberi fokus kepada pembangunan insaniah, sikap dan akhlak seiring dengan ilmu dan kemahiran.

“Untuk menerjah ke peringkat antarabangsa, pelajar-pelajar perlu kepada minda global, kefahaman dan hala tuju kehidupan yang jelas,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian MRSM Kuala Kangsar di sini semalam.

Majlis dirasmikan Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut mengisytiharkan nama baharu MRSM itu sebagai MRSM Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, pembinaan MRSM di kawasan pedalaman secara tidak langsung akan menjadikan kawasan tersebut membangun dalam segala aspek.

Jelasnya, sejajar dengan hasrat kementerian iaitu ‘membandarkan luar bandar’ sekali gus menjadikan MARA sebuah agensi yang penting dalam menggalas amanah dan memastikan komuniti di segenap pelosok negeri tidak terlepas dalam arus kemo­denan yang telah dikecapi.

“MARA memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar, miskin tegar dan miskin bandar de­ngan memberi pelbagai bantuan seperti kewangan dan peralatan persekolahan bergantung kepada tahap status ekonomi sosial mereka.

“Ini sejajar dengan harapan agar pada masa depan pelajar ini akan menjadi agen perubahan khususnya kepada masyarakat luar bandar.

“Peluang seperti ini perlulah direbut oleh pelajar supaya tidak ketinggalan jauh dalam arus dunia tanpa sempadan,” katanya.

Tambahnya, dengan ada­nya MRSM di kawasan Kuala Kangsar diharapkan dapat mewujudkan kerjasama antara pihak MRSM dan pelajar setempat untuk membantu mereka dalam meningkatkan lagi kecemerlangan dalam pendidikan.

“Menjadi harapan kami agar hubungan yang terjalin antara MRSM dan penduduk sekitar Kuala Kangsar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan membuka peluang untuk kerjasama berterusan dapat dilaksanakan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, MRSM telah melahirkan ikon-ikon yang hebat seperti angkasawan pertama Malaysia, Dr. Syed Sheikh Muzaffar Shukor dan tokoh korporat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun.

“Nama-nama besar ini pas­tinya menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk membina nama dalam bidang yang mereka minati suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, MARA mengo­rak selangkah lagi dengan me­laksana­kan pelbagai bentuk ­pro­gram termasuklah MRSM Teknikal, MRSM Keusahawanan dan yang terbaru MRSM Middle Year Program (MYP).

Katanya, MARA melihat MRSM merupakan saluran yang paling sesuai untuk membentuk dan mencorakkan sahsiah dan juga tahap intelek generasi muda untuk menyahut usaha murni kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Pelbagai inisiatif telahpun dilaksanakan oleh MARA dalam memastikan anak bangsa terus unggul di persada pendidikan global.

“Sejak penubuhannya pada 1972, MRSM telah menghasilkan seramai 170,461 orang pelajar yang berjaya dalam bidang ma­sing-masing,” katanya.