Soal selidik mengenai modul cetusan idea Unit Pendidikan Utusan Malaysia ini dilaksanakan oleh rakan kerjasama pembangun modul berkenaan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas selama sebulan menggunakan Kod QR yang diterbitkan di ruangan ini dan akhbar pendidikan, Utusan Pelajar sepanjang April lalu.

Menurut Ketua Jabatan Sains Sukan IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd Khamdani Sairi, dapatan kesemua enam konstruk kajian berada pada tahap sangat tinggi dengan skor min keseluruhan 4.65 daripada 5.00.

“Konstruk Kepuasan Keseluruhan mencatatkan skor min ter­tinggi 4.70 diikuti Objektif Program (4.68), Isi Kandungan Modul (4.67), Kebergunaan (4.62), Fleksibiliti (4.61) dan Persembahan (4.55),” katanya yang juga ahli kumpulan penggubal modul ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan dapatan soal selidik itu kepada Unit Pendidikan Utusan Malaysia yang diketuai Pengarang dan Pengurus Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali.

Berdasarkan dapatan ini membuktikan keberkesanan Modul 10 Minit dalam perhimpunan sekolah sebagai sebahagian daripada Program Penjenamaan PAK-21 anjuran Utusan Malaysia dengan sokongan Kementerian Pendidikan bermula Januari 2017.

Modul sebanyak 42 set yang diterbitkan pada Utusan Pelajar ini terbukti dapat dijadikan pemangkin untuk menjentik pemikiran murid melalui aktiviti yang dirancang secara teliti.

Buktinya, berpandukan hasil dapatan kajian di bawah konstruk Potensi Kebergunaan: Kepuasan Keseluruhan menunjukkan modul ini mendapat maklum balas pada tahap sangat tinggi daripada guru yang mengaplikasikannya di sekolah seperti boleh merangsang murid berfikir secara spontan (4.78) dan aktiviti modul menyentuh proses berfikir secara berterusan (4.71).

Hal ini kerana setiap aktiviti dalam modul berkenaan turut me­nguji penonton semasa per­him­punan untuk memberikan pen­dapat dan komen secara spontan berdasarkan isu yang diperkatakan.