Penolong Pengarah, Pendaftaran, Latihan dan Naziran, Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ahmad Azhari Talib berkata, kursus ini diadakan bagi memberikan pengukuhan kepada guru-guru yang mengajar pelbagai subjek di sekolah menengah agama Negeri Sembilan tentang konsep dan strategi melaksanakan PdP berasaskan KBAT.

“Bengkel sehari kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain ini berjaya memberi pendedahan yang menyeluruh secara jelas, praktikal, sistematik dan realistik kepada guru-guru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat kursus yang disertai 83 guru itu di Melang Inn, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengetua Maahad Ahmadi, Gemenceh, Abdul Rahim Maamor berpendapat, kursus ini mampu memberi pendedahan pengaplikasian alat-alat berfikir untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Pendedahan strategi melaksanakan perancangannya menggunakan Model Reka Bentuk Pengajaran ASIE amat relevan dengan perkembangan pendidikan masa kini,” katanya.

Bagi Penyelia pendidikan SAR dan KAFA, JHEAINS, Mansor Abu Bakar, Dr. Ismail berjaya memotivasikan dan memberi keyakinan kepada peserta untuk melaksanakan KBAT dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

“Hal ini kerana Dr. Ismail memberi pemahaman yang jelas tentang KBAT dan kedudukan­nya dalam kerangka pembelajaran abad ke-21,” ujarnya.

Seorang lagi peserta kursus, Noorliza Mohamad memberitahu, latihan yang diberikan dalam kursus ini mampu memberi ke­se­daran, pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan KBAT dalam proses PdPc.

“Yang diperlukan adalah komitmen guru dan keupayaan guru menghadapi cabaran untuk melaksanakannya dengan jaya,” kata Ketua Bidang Kemanusiaan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan ini.