Khairulrizam Khalid, 39, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Samad, Tanjong Ipoh dekat sini terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan sehingga ke pangkal paha pada 13 Februari lalu di Hospital Serdang, Selangor.

Beliau sebelum itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini pada 25 Disember tahun lalu akibat sakit teruk pada bahagian kaki tersebut.

"Doktor yang membuat peme­riksaan mendapati terdapat saluran darah ke kaki tersumbat kerana ada darah beku di bahagian itu yang berpunca daripada serangan strok ringan pada 2012," katanya selepas Ziarah Kasih Guru Sakit Parlimen Kuala Pilah di Terachi dekat sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Ismail Lasim; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab. Jalil.

Dalam ziarah itu, Mahdzir meluangkan masa berbual dengan Khairulrizam dan isteri, Ili Nurbahirah Baharudin, 34, dan tiga anak pasangan itu yang berusia antara satu hingga enam tahun.

Menteri Pendidikan memberikan kata-kata perangsang kepada Khairulrizam yang masih bercuti sakit akibat pembedahan hingga Jun ini serta menyampaikan sumbangan.

Khairulrizam yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah penggubah lagu tema untuk sambutan Hari Guru bertajuk Guru Pembina Negara Bangsa sebanyak empat kali iaitu pada 2009, 2010, 2016 dan tahun ini.