Penerima Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Mohd Rosnizam Mohd Yusoff berkata, kejayaan mewakili negeri Perak itu dicapai menerusi inovasi sistem ternakan ayam organik e-Lips yang dapat meningkatkan pendapatan penternak kerana kos operasinya rendah.

“Dengan sistem ini, penggunaan ruang dan risiko kematian ayam dapat dikurangkan sekali gus berpotensi besar untuk dikomersialkan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Sistem ini merangkumi struktur reban pintar, makanan foder dan makanan tambahan yang bersifat vaksin dan antibiotik.

Reban mudah alih daripada paip PVC bagi sistem ini menerapkan reka bentuk permukaan elips untuk memastikan pergerakan ayam secara aktif kerana tidak mempunyai bucu selain dilengkapi dengan rumah Black Soldier Fly sebagai sumber makanan semulajadi, pengesan suhu dan pemanas automatik.

Makanan bagi sistem ini dihasilkan sendiri menggunakan ramuan tumbuhan herba tempatan yang difermentasi dan terbukti menerusi ujian makmal Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan daging ayam yang mempunyai kadar protein lebih tinggi dan lemak yang rendah berbanding sistem komersial sedia ada.

Sementara itu, pasukan KV Teluk Intan yang meraih Anugerah Projek Terbaik dianggotai oleh Muhasabah Mohad Shukri, Muhammad Najmi Nazhan Jamaluddin, Muhammad Aiman Najmi Syahril, Farisa Soleha Mohd Arfa’a, Muhammad Aiman Md Ishak, Nur Hafizah Khiruddin dan Muhammad Ammar Zamir.

Mohd Rosnizam berharap pelajar terbabit dapat meneruskan projek ini secara komersial kerana permintaan bekalan daging ayam yang sentiasa meningkat.

“Projek ini membuka lembaran baharu kepada pelajar terbabit untuk memulakan langkah memasuki alam perniagaan dan menjadi usahawan tani pada masa depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE