Pengarah kolej itu, Ruslan Zainuddin berkata, sumbangan itu dapat membantu meningkatkan mutu dan teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah serta bengkel.

“Pembelajaran enjin kende­raan pacuan empat roda terkan­dung dalam Kurikulum Standard Kolej Vokasional justeru dengan sumbangan ini pelajar memperoleh kemahiran dan pengalaman mengenainya dalam sesi amali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan dua kereta pacuan empat roda Isuzu Trooper, sebuah van Toyota Liteace dan dua buah motosikal berkuasa tinggi 1200 cc yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Kejuruteraan JBPM Wilayah Persekutuan, Abdul Rauf Abdul Kadir di kolej itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kolej Vokasional Setapak, Datuk Badaruddin Nordin.

Walaupun kenderaan yang disumbangkan dalam proses pelupusan, sudah uzur dan tidak lagi berfungsi namun pelajar Bengkel Teknologi Automotif Kolej Vokasional Setapak berjaya membaikinya hingga boleh digunakan di dalam kawasan bengkel.