Shahrul Nizar

Pengurus Besar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, pihaknya dengan Kementerian Pendidikan melaksanakan program English Mania in KidZania bagi memperkukuh­ bahasa Inggeris melalui pem­belajaran secara tidak langsung dalam persekitaran secara simulasi dan hands on – minds on.

“Program ini bertujuan memupuk minat dan motivasi murid yang lemah dan sederhana penguasaannya dalam bahasa Inggeris, dengan mengasah ba­kat mereka dalam kemahiran ber­komunikasi secara lisan semasa di Kidzania selain membina keyakinan diri untuk bertutur dan berani mencuba sesuatu yang baharu.

“Bagi meningkatkan kualiti program pada setiap tahun, beberapa guru bahasa Inggeris dari sekolah yang dipilih Kementerian Pendidikan berkampung di Kidzania bagi menghasilkan modul baharu yang lebih mudah dan menarik minat murid,” katanya ketika dihubu­ngi baru-baru ini.

Kidzania yang menjadi penaja bersama Festival Hari Guru 2017 mula beroperasi sejak Februari 2012 di The Curve, Mutiara Damansara, Se­langor.

Uniknya di Kidzania, kanak-kanak ber­usia seawal 4 hingga 17 tahun perlu membuat lakon pe­ranan ketika membuat pekerjaan atau aktiviti yang mereka minati secara berdikari dalam membuat keputusan dan bermain tanpa dipengaruhi ibu bapa mahupun penjaga bagi mengenal pasti kecenderungan serta bakat mereka.

Bagaimanapun, kata Shahrul Nizar selaku Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, dalam program Future Leader untuk murid prasekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, guru dibolehkan berada bersama-sama murid ketika mereka membuat aktiviti.

“Tugas guru ketika aktiviti berlangsung adalah sebagai penilai, yang mencatatkan kecen­derungan dan bakat murid dalam buku laporan pelajar untuk dijadikan panduan guru serta ibu bapa,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, Kidzania turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam program Adiwira Selangor Terbilang dan Sema­ngat Tuah Inspirasi Jebat bersama JPN Melaka.

“Dalam Adiwira Selangor Terbilang, mi­salnya, sekolah akan mencalonkan murid selaku adi wira mereka ke sesi temu duga di Pejabat Pendidikan Daerah masing-ma­sing yang kemudian­nya, calon terpilih akan mewakili daerah ke peringkat negeri.

“Program ini menggalakkan murid menabung untuk ke KidZania, bijak mengurus kewangan di bandar KidZania, dan melengkapkan modul dan tugasan yang diberikankan,” jelasnya.

Kata Shahrul Nizar, program seperti ini menjadikan murid-murid yang terlibat mempunyai ketrampilan, bijak mengurus kewangan, mempunyai IQ yang cerdas, mahir berkomunikasi serta mempunyai akhlak yang mulia.

“Oleh itu, ibu bapa dan ma­syarakat perlu bijak menggunakan peluang dan kemudahan pendidikan yang ditawarkan di KidZania di samping memikirkan cara pembelajaran yang lebih kreatif untuk anak mereka berbanding dengan rutin belajar yang membebankan sekali gus menolak keperluan kanak-kanak untuk bermain,” katanya.