Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, usaha itu membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan SAR daripada radar pemerhatian kerajaan.

“Di sini saya ingin menyatakan komitmen saya selaku Menteri Besar bahawa bantuan kepada SAR terus disalurkan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan di situ menikmati suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif.

“Adalah menjadi hasrat saya mahu melihat SAR terus berkembang maju dan bertambah hebat,” katanya dalam majlis Penyampaian Sumbangan kepada SAR di Sekolah Makarimul akhlak di Langgar, dekat sini semalam.

Katanya, tahun lepas kerajaan negeri memperuntukkan seba­nyak RM1.7 juta kepada 11 SAR dalam usaha menjadikan sekolah itu terus berkembang maju dan bertambah hebat.

“Sejak bermula bantuan kepada SAR pada 2010 menerusi Yayasan Gerak Fikir, saya sentiasa mencari jalan bagaimana mahu mempertingkatkan lagi bantuan kepada SAR ini.

“Insya-Allah dengan sokongan semua pihak, saya akan berusaha menambah bantuan pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, SAR mempunyai sejarah yang panjang penubuhan iaitu sejak abad ke-20 dan saban hari menjadi pilihan masyarakat kerana berjaya melahirkan ramai pelajar berilmu dalam bidang agama di samping turut cemerlang dalam bidang akademik.

“Apabila kejayaan SAR mene­rapkan ilmu agama dan akademik itu, ibu bapa mula menjadikan SAR sebagai pilihan utama. Sekarang sudah menjadi semacam trend ibu bapa memilih sekolah agama sebagai sekolah pilihan untuk anak-anak mereka,” katanya.