Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkaruddin Razali berkata, CIDS memenuhi keperluan itu kerana mengan­dungi kepelbagaian elemen termasuk keupayaan menggabungkan bahan-bahan rujukan.

“Elemen yang terdapat pada sistem ini membantu guru menaik taraf dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masing-masing yang akhirnya memberi manfaat kepada pelajar.

“Malah, guru boleh merancang PdP dengan rakan guru lain dan berbincang mengenai elemen pembelajaran secara perkongsian selain dapat menilai tahap kepintaran pelajar ke­seluruhan di dalam sesuatu bilik darjah,” jelasnya ketika ditemui dalam Seminar Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) Bersama Ikon oleh pakar pembangun CIDS, Dr. Ismail Zain di Johor Bahru, baru-baru ini.

Lima sekolah di Negeri Sembilan di bawah Program Transformasi Sekolah telah menggunakan CIDS sejak beberapa bulan lalu.

Kini, lima buah sekolah lagi di bawah program sama di Ne­geri Sembilan akan menggunakan sistem ini.

Pkaruddin berkata, semua gu­ru wajar memanfaatkan penggunaan sistem CIDS sepenuhnya kerana melaluinya proses PdP menjadi lebih mudah dan lancar selain menepati keperluan serta matlamat PAK-21.

“Jika sebelum ini, guru me­ngajar secara umum dan tidak mengambil kira kebijaksanaan seseorang pelajar tetapi dalam sistem ini, ia diambil kita melalui ujian psikomentrik di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

“Kita cuma ambil data PBS itu dan masukkan ke dalam CIDS untuk melihat keseluruhan kemenjadian seseorang pelajar itu sekali gus boleh memberi idea dan kaedah kepada guru untuk merancang PdP dalam sesuatu bilik darjah,” ujarnya yang berharap penggunaan CIDS diperluas ke semua sekolah di Negeri Sembilan.