Murid tahun empat itu dipi­lih selepas muncul naib johan kategori bawah sembilan tahun di Kejohanan National Scholastic 2017 yang berlangsung di Sekolah Menengah Alam Shah, Putrajaya pada 14 hingga 16 April lepas.

Bapanya, Rhozisham Abd. Rashid, 43, berkata, kejayaan itu mendorong Persekutuan Catur Malaysia (PCM) memi­lih anak bongsunya daripada tiga beradik tersebut mewaki­li negara ke Kejohanan Catur Sekolah Asia Ke-13, yang merupakan anjuran bersama Persekutuan Catur Dunia dan Persekutuan Catur China.

“Saya bersyukur dan berbangga kerana Muhammad Hafiy Ikhwan dipilih untuk bersaing di peringkat antarabangsa walaupun kami tinggal dan dia belajar di sebuah bandar yang agak jauh dari ibu negara,” katanya di sini kelmarin.

Rhozisham yang merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis berkata, dia menggunakan pengalaman bermain catur, membaca dan mengakses maklumat tentang strategi permainan menerusi internet bagi mengasah kemahiran anaknya dalam acara berke­naan.

Katanya, Muhammad Hafiy Ikhwan mula berjinak dengan permainan itu sejak berusia enam tahun sebelum menyer­tai kejohanan peringkat kebangsaan di Subang, Selangor dan muncul juara bagi kategori bawah lapan tahun.

Kejayaannya turut dido­rong menerusi suntikan semangat dan tunjuk ajar daripada abangnya, Muhamad Haziq, 13, yang juga pemain catur mewakili Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Pahang di kejohanan kebangsaan pada 2016 dan tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan daerah, Azhari Rose berkata, kejayaan murid berkenaan mewakili negara cukup membanggakan seluruh warga pendidik, komuniti Lipis dan pemimpin setempat.

“Kita menyanjungi usaha bersungguh-sungguh yang dizahirkan oleh Rhozisham melatih anaknya sekali gus membuktikan kerjasama ibu bapa dan guru berada di landasan terbaik untuk melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiy Ikhwan berkata, dia sudah bersedia dan berazam untuk mengharumkan nama negara dengan berusaha sebaik mungkin dalam Kejohanan Catur Sekolah Asia Ke-13 nanti.