Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsannudin Harun Narrashid berkata, persediaan awal mesti dirangka oleh ibu bapa supaya proses pembelajaran anak-anak mereka terjaga dan terjamin.

“Pendidik adalah aset penting dalam kehidupan setiap individu dan kejayaan dalam pendidikan merupakan ‘pelaburan’ jangka panjang ibu bapa.

“Ibu bapa masa kini semakin bijak dan berfikiran lebih ke depan dengan merancang masa depan anak mereka, namun begitu tidak kurang juga ibu bapa yang masih memandang ringan aspek pendi­dikan kepada anak-anak mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan Parlimen Kota Tinggi di Dewan Komuniti Ehsan Kampung Si­ngapura, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Zakaria Ahmad Zabidi; Pengurus Yayasan Pengerang, Mohammad Syahrin Rosmin; Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak dan Penghulu Mukim Sedili Besar, Aidil Maseh.

Pada majlis itu, seramai 500 pelajar di kawasan Parlimen Kota Tinggi menerima bantuan kelengkapan persekolahan sumbangan PLUS Malaysia Berhad.

Noor Ehsannudin berkata, sum­­bangan melibatkan pelajar daripada 36 buah sekolah itu te­lah diberikan sejak 2014 bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa menyediakan keperluan dan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

“Ini merupakan kali keempat sumbangan seperti ini diadakan. Setiap pelajar menerima sumbangan bernilai RM300 termasuk sepasang pakaian sekolah, kasut, alat tulis dan beg,” katanya.