Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Zain Hazmi Zain Baharin berkata, penggunaan Utusan Pelajar di sekolah akan mem­beri seribu makna kepada pe­lajar kerana bukan sahaja dapat memperkasa empat kemahiran itu ma­lah turut menjadi pemangkin pembangunan insaniah dengan faktor kemenjadian murid.

“Oleh sebab, idea dan kaedah yang diperkenalkan juga sesuai untuk guru-guru pelatih laksanakan sebagai sebahagian aktiviti dalam sesi praktikum dan internship mereka di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas Program Bersama Utusan Pelajar sempena Karnival Pendidikan 2017 anjuran Jabatan Teknologi Pendidikan IPG Kampus Ipoh di institut itu di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan guru dan pelajar sekolah rendah tentang penggunaan akhbar dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa PAK-21 IPG Kampus Ipoh, Dr. Suriati Abdul Aziz menjelaskan, empat ciri itu dipraktikkan dan ditunjukkan menerusi bahan-bahan yang dipaparkan pada Utusan Pelajar.

“Hal ini disebabkan contoh-contoh dan bahan rangsangan yang dikemukakan serta aktiviti yang dicadangkan pada Utu­san Pelajar untuk dipraktikkan oleh guru bersama pelajar amat menggalakkan penglibatan pelajar, melatih pelajar untuk bercakap, berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah,” jelasnya.

Menurut Pensyarah Kanan Aka­­demik IPG Kampus Ipoh ini lagi, penggunaan akhbar adalah sebahagian daripada pedagogi abad ke-21 yang membolehkan gu­­ru menggunakan semua sumber pendidikan luar dalam membantu sesi PdP mereka.

“Malah, program ini berjaya menarik minat pensyarah IPG Kampus Ipoh yang turut menyedari kebergunaan Utusan Pelajar dalam mempelbagaikan akti­viti PdP, di luar dan di dalam ke­las,” ujar beliau.

Tambahan pula, kata Suriati, penggunaan tek­nologi menerusi aplikasi Kod QR yang membawa pautan maklumat tambahan turut menarik minat pengguna kerana mereka tidak lagi perlu untuk mencari maklumat secara manual.

“Jika beberapa aplikasi yang lain seperti augmented reality, Aurasma, digunakan saya pasti Utusan Pelajar akan menjadi akhbar yang paling dicari untuk rujukan dalam pendidikan abad ke-21,” katanya.