Program yang diadakan de­ngan kerjasama akhbar Utusan Malaysia dan Bank Rakyat itu akan melibatkan 300 buah sekolah di seluruh negara.

Pengerusi Yayasan Bank Rak­yat, Datuk Abdul Rahman Kassim berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM700,000 untuk mengadakan Tuisyen Rakyat sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, pada tahun ini, yayasan itu bekerjasama dengan Kumpulan Utusan untuk membekalkan Tutor kepada peserta tuisyen percuma tersebut.

Tutor merupakan satu bahan tambahan yang amat baik untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); Ujian Bertulis Penilaian Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana digubal berdasarkan perkemba­ngan terkini pendidikan negara.

“Kita amat berharap kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada peserta-peserta yang dipilih,” katanya selepas Majlis Perasmian Tuisyen Rakyat 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Abdul Rahman berkata, Tuisyen Rakyat itu diadakan bagi membantu pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dengan tahap pencapaian akademik sederhana.

“Menjadi tugas kami untuk membantu pelajar-pelajar terbabit untuk mencatatkan kejayaan cemerlang dengan mengikuti kelas tambahan pada setiap hari Sabtu yang disampaikan oleh guru mereka sendiri,” katanya.

Katanya, setiap tahun, yayasan tersebut memperuntukkan sebanyak RM6 juta sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pendidikan secara holistik.

“Selain daripada tuisyen, kita turut mengadakan program bersama ikon kepada pelajar tingkatan 4 sebagai persediaan awal untuk pelajar yang mengambil SPM.

“Kami turut memperluaskan tanggungjawab sedia ada bukan hanya pelajar sekolah tetapi juga di peringkat pengajian tinggi dengan menawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada individu yang layak,” katanya.