Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip berkata, instrumen nilai tambah yang terdapat dalam sisipan berkenaan juga setanding atau jauh lebih baik berbanding bahan-bahan bantu mengajar lain yang lebih mahal.

Menurutnya, ia bukanlah satu bentuk pembaziran, malah meru­pakan pelaburan murah yang sama kualiti serta keberkesanannya dengan mana-mana bahan lain yang digunakan guru serta murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Saya menyokong dan amat menggalakkan penggunaan akhbar sisipan Tutor ini di sekolah-sekolah dari peringkat awal kerana ia mampu menjadi penambah nilai proses PdP tersebut.

“Selain itu, penggunaan Tutor juga mampu memberi kebaikan kepada anak-anak pada masa kini yang memerlukan suatu bentuk pembe­lajaran yang berbeza serta menye­ronokkan berbanding dahulu,” katanya ketika merasmikan Penggunaan Akhbar Tutor Dalam Kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, Durian Tunggal di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Abd. Malik Harun; Guru Besar SK Gangsa, Azizah Maamor; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Gangsa, Mohd. Samsurry Sudin dan Eksekutif Jualan Utusan Malaysia cawangan Melaka, Siti Hajar Halim.

SK Gangsa yang telah melanggan Tutor sejak 2015 melanggan sebanyak 4,080 naskhah akhbar sisipan berkenaan untuk tahun ini bagi kegunaan semua murid tahun enam sekolah berkenaan serta sebahagian murid tahun empat dan lima.

Sementara itu, Azizah memberitahu, penggunaan Tutor sejak tahun lalu terbukti membantu sekolah meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan murid, selain memudahkan guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dalam bilik darjah.

Katanya, minat belajar murid juga meningkat dengan adanya grafik menarik dan berwarna-warni dalam akhbar Tutor yang secara tidak langsung membuatkan mereka tidak mudah bosan.

“Apa yang lebih penting, Tutor bukan sahaja membantu dalam bidang akademik, malah turut menjadikan murid mempelajari kemahiran insaniah seperti kerjasama berkumpulan, me­ngisi masa lapang dengan perkara bermanfaat, adab ketika belajar, bertolak ansur, menyelesaikan masalah dan banyak lagi,” katanya.