Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3,­­ Suryati Tikon berkata, akhbar pendidikan tersebut merupakan alat bantu mengajar yang se­nang dan berkesan.

Beliau berkata, pihaknya berharap penggunaan Tutor akan dapat menarik minat pelajar untuk meneruskan sesi pem­belajaran secara kendiri.

‘‘Pihak sekolah melihat penggunaan akhbar ini mampu membantu meningkatkan pengetahuan dan penguasaan ilmu pelajar khusus­nya dalam lima subjek utama.

‘‘Akhbar ini juga merupakan medium yang mudah dan diharap dapat dimanfaatkan pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran tanpa pengawasan guru,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima sumbangan Tutor daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Wilayah Selatan, Mohd. Asri Jantan; Eksekutif Pemasaran Cawangan Johor Bahru, Romli Awang dan wakil Khazanah, Hairuddin Mohd. Noh.

SMK Pasir Gudang 3 merupakan antara 11 sekolah di seluruh negeri yang terpilih untuk mene­rima tajaan Tutor daripada Kha­zanah dan bahan bantuan me­ngajar itu akan dimanfaatkan oleh 1,383 pelajar sekolah tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar, Nur Ellyna Azahar, 16, mengakui gemar melakukan ulang kaji menggunakan akhbar pendidikan itu kerana lengkap, mudah digunakan dan senang dibawa.

‘‘Tutor ini mudah digunakan kerana ia mengandungi nota pembelajaran secara ringkas yang mudah difahami, diikuti dengan soalan dan latihan bagi menguji ilmu pengetahuan kita dalam subjek tertentu,’’ katanya.

Seorang lagi pelajar, Muham­mad Hilmi Khalik, 16, pula menyu­kai Tutor kerana susun aturnya yang kemas dan menarik.

‘‘Bagi saya Tutor ini menarik kerana ia disertakan dengan pelbagai gambar rajah dan maklumat tambahan disediakan dalam pelbagai cara.

‘‘Secara tidak langsung, ia menarik minat saya untuk menggunakannya bagi melakukan ulang kaji terutama bagi subjek yang saya lemah seperti Bahasa Ing­geris,” katanya.