Bagi memastikan akhbar pendidikan itu terus membantu kejayaan pelajarnya, sekolah tersebut melanggan sejumlah 1,548 naskhah akhbar tersebut sebagai bahan bantu pembelajaran sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Akhbar berkenaan akan diagih-agih­kan kepada 38 murid tahun enam dan murid-murid lain bagi membantu mereka memperoleh keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan tahun-tahun hadapan.

Guru Besar sekolah itu, Normah Awal berkata, pihaknya melanggan Tutor ke­rana yakin dengan kemampuan akhbar pendidikan itu membantu para murid­nya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

“Sekolah ini telah melanggan Tutor sejak 2014 dan sejak daripada itu, terbukti akhbar tersebut banyak membantu murid dan guru sebagai bahan pembelajaran dan meningkatkan keputusan peperiksaan UPSR sekolah.

“Sebagai contoh, keputusan UPSR sekolah pada tahun lalu meningkat 31 peratus dan untuk itu, pihak pengurusan sudah membuat tempahan akhbar ini bagi memastikan kami tidak ketinggalan melanggannya pada penghujung tahun lalu,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan tajaan akhbar Tutor Utusan Malaysia di sekolah itu, Jumaat lalu.

Yang turut hadir, Ketua Pusat Kegiatan Guru (PKG) Masjid Tanah, Hasnan Jamalludin; Eksekutif Jualan Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Melaka, Siti Hajar Halim dan Guru Penyelaras UPSR sekolah tersebut, Azizul Jamin.

Majlis penyerahan tajaan akhbar itu diadakan sempena pelancaran program Nilam dan program Virtual Learning Environment (VLE) peringkat sekolah itu yang dirasmikan oleh Hasnan.

SK Ramuan China Besar mempunyai sebanyak 236 orang murid tahun satu hingga enam dan 27 orang kakitangan dan guru turut berkeyakinan Tutor dapat membantu muridnya mencapai keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.

“Kesan positif dalam pencapaian akademik dan kandungan soalan latih tubi dalam Tutor yang menekankan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan antara sebab pihak sekolah memilih untuk melanggan Tutor,” katanya.

Sementara itu, Hasnan ketika ditemui berkata, langkah sekolah tersebut menjadikan akhbar pendidikan Tutor sebagai alat bantu mengajar amat bertepatan dan dapat membantu sekolah itu mencapai keputusan lebih baik.

“Satu langkah yang bijak dan saya berharap guru serta murid di SK Ramuan China Besar mendapat manfaat terma­suk Tutor dapat membantu mereka menjayakan program Nilam dan keputusan peperiksaan sekolah,” katanya.