Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Maziah Yusof berkata, pengagihan tablet ini memberi manfaat dan kemudahan kepada guru dalam merancang pengajaran menggunakan IT dari segi kecepatan mendapatkan bahan dan kualiti aktiviti PdPc yang dihasilkan.

“Usaha ini seiring dengan pe­rancangan sekolah dalam me­laksanakan sepenuhnya pem­belajaran abad ke-21 melalui penggunaan IT,” katanya ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru di sekolah itu di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Dalam program intervensi ini, guru dibimbing bagaimana membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian.

Program untuk guru penerima tablet ini dikendalikan Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Selepas tamat program itu, SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi diiktiraf sebagai Sekolah Mentor bagi program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini, Md. Yusup Hamid berkata, program intervensi ini amat bermanfaat kerana memberi penjelasan tentang penggunaan dan keistimewaan tablet dalam membantu memudahkan tugas guru.

“Kini, saya boleh mula merang­ka perancangan pengajaran meng­gunakan aplikasi Tutor Guru pada tablet ini,’’ katanya.

Pendapat ini disokong guru sekolah itu, Zurina Abdullah kerana kini boleh mengatur rancangan pembelajaran dan pengajaran dengan lebih baik dan berkesan.

“Malah baharu saya ketahui bahawa dengan aplikasi ini, saya dan rakan guru lain boleh mendapatkan fail untuk soalan baharu dan berkongsi dengan sekolah lain,” katanya.

Setakat ini, 120,000 guru di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima Tablet Guru yang mengandungi aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.