Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berharap guru baharu terutama mereka yang ditugaskan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menggunakan peluang tersebut untuk menimba pengalaman.

“Kalau boleh saya mahu guru baharu yang ditempatkan di mana-mana terutama kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak supaya rasai keseronokan mengajar di sana.

“Janganlah baru setahun duduk sana, sudah menangis di kementerian (Pendidikan) sebab nak mohon untuk balik (Semenanjung). Sekurang-kurangnya, duduklah tiga, empat tahun dulu sehingga sah jawatan.

“Ambil peluang yang diberi ini untuk timba pengalaman,” katanya ketika menziarahi seorang penduduk Kampung Padang Bakong yang sakit angin ahmar dan uzur di sini hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan meluluskan 2,825 termasuk 80 peratus atau 2,261 permohonan pertukaran guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan masing-masing atau dikenali sebagai 'duka lara' pada sesi Jun ini.

Menurut Mahdzir, pihaknya sedia menimbangkan permohonan pertukaran namun alasan yang diberikan perlu kukuh bagi memastikan kekosongan yang ditinggalkan akan dapat diganti.

“Pertukaran memang boleh dibuat tetapi ia perlu mengikut peraturan dan jumlah yang memohon juga banyak sebab itu akan mengambil masa sedikit.

“Ini kerana kebanyakan guru baharu yang ditempatkan di suluruh negara adalah untuk mengisi kekosongan guru yang berpindah atau tamat perkhidmatan,” ujarnya.