Pemenang tempat pertama 1BestariNet Teacher Awards (1BNTA) 2017, Saifulnizan Che Ismail berkata, guru pada hari ini perlu bergerak pantas, sepantas perkembangan dan kehendak dunia masa kini, terutama dalam bidang pendidikan selaras dengan perkembangan sains dan teknologi.

“Oleh sebab itu, saya menggunakan pelbagai teknologi sebagai bahan bantu mengajar dan salah satunya adalah pendekatan menggunakan pelantar Frog VLE.

“Frog VLE merupakan satu platform mesra pengguna dan mengandungi pelbagai widget yang menarik untuk mempelbagaikan aktiviti PdPc di dalam kelas,” kata guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar ini.

Menerusi pendekatan ini, tambahnya, pendidikan abad ke-21 (PAK-21) yang berfokuskan murid manakala guru sebagai fasilitator dapat dilaksanakan.

Pendapat ini disokong oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Tuaran, Kamisah Mohd. Khamis yang menyatakan penggunaan Frog VLE membantu membudayakan PAK-21.

“Murid saya walaupun dalam kategori luar bandar namun sangat cenderung dan berminat dengan konsep pembelajaran baharu menggunakan Frog VLE.

“Mereka sangat komited menghias site dan yakin semasa pembentangan dan sesi soal jawab.

“Ia adalah platform untuk bekerja secara berpasukan dan menggilap serta mengetengahkan murid-murid yang berda­ya saing, mampu berkolaborasi dan berkomunikasi,” jelas pemenang tempat kedua 1BNTA 2017 ini.

Sementara itu, guru SMK Jalan Reko yang menduduki tempat ketiga 1BNTA 2017, Mohamad Jalil Mohamad Yunus berpendapat, pendekatan PAK-21 menggunakan teknologi memberi peluang kepada murid untuk meneroka secara berdikari dan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dengan kreatif dan kritis selain membina perwatakan mereka.

“Murid saya menjadi lebih yakin untuk berkongsi bahan pembentangan mereka dengan orang ramai samping berpeluang menonjolkan bakat masing-masing,’’ ujarnya.

Beliau juga berkongsi pengalaman bahawa murid menjadi lebih berani menyuarakan pendapat kerana mereka sentiasa mempunyai peluang untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang berlaku aktif dalam kumpulan masing-masing.