Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pembinaan SBP integrasi dijadualkan bermula tahun ini manakala sebuah lagi SBP iaitu sekolah menengah kebangsaan (SMK) agama akan mula dibina tahun depan.

“Dengan adanya dua SBP ini, anak-anak Tanah Merah yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang menyambung pelajaran di sini tanpa perlu ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jom Masuk U! Permata 2017 serta menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 dari sekitar kawasan Parlimen Tanah Merah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pengambilan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Nizam Nordin dan Rektor UiTM cawangan Kelantan, Dr. Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan.

Pada majlis sama, Ikmal Hisham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah telah meraikan 700 pelajar yang memperoleh keputusan 1A ke atas dalam SPM serta Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas dalam STPM.

Beliau berkata, majlis tersebut bertujuan meraikan kejayaan anak-anak Tanah Merah yang gigih berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“Hari ini, kita telah memberi sumbangan berupa beg serta tuala kepada setiap penerima manakala mereka yang mendapat 5A dan PNGK 3.0 ke atas turut menerima wang tunai.

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk memberi dorongan dan perangsang kepada mereka supaya terus mencipta kejayaan,” katanya.

Ikmal Hisham menambah, sumbangan itu disampaikan oleh pihaknya kepada pelajar-pelajar cemerlang di sekitar kawasan Parlimen Tanah Merah setiap tahun.