Istimewanya, majlis penuh gemilang itu diadakan di Dewan Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa di sini dengan aturcara bagaikan istiadat konvokesyen sebuah universiti yang turut dihadiri para ibu bapa.

Guru Besar, Rohani Rajab da­lam ucapannya berkata, tujuan majlis itu adalah sebagai motivasi dan pendorong murid meningkatlan tahap pencapaian dalam pelajaran.

“Keputusan cemerlang adalah penting sebagai platform ke pe­ringkat lebih tinggi namun pencapaian akademik tidak akan ke mana tanpa akhlak yang baik.

“Tugas mendidik termasuk kepada anak-anak dalam PPKI perlu dikongsi bersama antara guru dan ibu bapa serta saya amat bersyukur dengan komitmen ditunjukkan semua pihak kepada sekolah ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman hadir me­nyampaikan sijil graduasi kepada setiap pelajar.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Datu' Hashim, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman.

Sementara itu, gelagat pelajar PPKI yang mengambil sijil atas pentas mencuit hati hadirin kerana keberanian mereka me­ngatasi perasaan takut dan malu.

Seorang penerima Muhammad Zaim Zakwan Azranizam, 13, yang berasal dari Panji adalah seorang pelajar yang bermasalah pembelajaran dan hiperaktif.

Menurut ibunya, Sarwanis Sapuan, 34, dia dan suaminya, Azranizam Mat Daud, 37, menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu belajar di SK Datu' Hashim sejak umurnya 7 tahun.

“Saya bersyukur kerana berkat didikan para guru anak saya semakin pandai berinte­raksi dengan orang lain malah tahu banyak perkataan Bahasa Inggeris walaupun tidak mahir membaca.

“Saya nasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar tidak 'menyimpan' anak mereka di rumah tetapi berilah dia peluang berkawan dan mendapat bimbingan di sekolah,” katanya.

Program PPKI di SK Datu' Hashim telah bermula sejak tahun 1992 dan pada masa kini seramai 58 pelajar berumur 7 hingga 13 tahun yang mengalami masalah pembelajaran; sindrom 'Down'; 'cerebral palsy'; autisme dan Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) belajar di situ.

HABIS