Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, apabila semua maklumat berkaitan murid itu digabungkan dan dibantu dengan sistem CIDS, interaksi antara guru dan murid akan menjadi aktif, sekali gus menggalakkan pemikiran kreatif serta kritis dalam kalangan murid.

“Hal ini menepati pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang menjadikan teknologi di dalam bilik darjah sebagai pengupaya untuk murid dan guru berkomunikasi dengan pihak luar dalam bertukar-tukar idea atau maklumat baharu,” katanya dalam Seminar PAK-21 Bersama Ikon yang dihadiri 500 guru tingkatan lima di Johor Bahru, baru-baru ini.

CIDS ini merupakan sistem yang lengkap untuk digunakan oleh guru dalam mereka bentuk pengajaran abad ke-21.

Melalui sistem ini, guru boleh berinteraksi dan menjalinkan kerjasama dengan komuniti luar terutama komuniti korporat dan profesional menggunakan fitur sembang video dan video konferen.

Menurut Dr. Ismail, kemudahan ini membolehkan guru mendapatkan maklumat tentang kehendak industri berkaitan kebolehpasaran kerja pelajar-pelajar pada masa depan.

“Guru boleh menyesuaikan pengajaran mereka berdasarkan tip, pengetahuan dan keperluan terkini yang diperoleh di samping berkongsi maklumat dengan pelajar di dalam bilik darjah,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, pemantauan rutin harian PdP guru juga mudah dilakukan dari peringkat pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah sehingga dalam kalangan pegawai kementerian yang hanya perlu masuk ke dalam akaun guru berkenaan.

“Sistem ini juga menjimatkan masa rutin guru dan kos perbelanjaan membeli buku rekod harian pengajaran guru pada setiap tahun,” tambahnya.