Pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen, Batu 8, Padawan di sini mengalami kecacatan selepas tubuhnya melecur 85 peratus dalam tragedi kebakaran di rumahnya pada 2004.

Namun, kekurangan dialami tidak menghalang Elizabeth Alida untuk menjawab kertas peperiksaan walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama berbanding dengan rakan-rakan sekelas.

Ibunya, Murni J Muteh, 42, memberitahu, anak bongsunya melecur 86 peratus pada badan kerana terperangkap dalam kebakaran di rumah setinggan yang diduduki mereka di Stutong di sini.

“Ketika kejadian Elizabeth hanya berusia dua tahun. Tragedi itu turut mengorbankan dua lagi anak saya iaitu Ednie Stephenie dan Elleary Emenual masing-masing berusia tujuh dan lima tahun manakala saya sendiri melecur di bahagian tangan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Murni berkata, meskipun sukar untuk bergerak kerana kaki Elizabeth mengalami kecede­raan serius akibat kebakaran itu, namun dia tetap rajin bersekolah dan cukup bersemangat untuk menduduki PT3 hari ini.

Mengulas mengenai kea­daan anaknya, Murni berkata, sejak ditimpa musibah tersebut, Girl sudah menjalani lebih 30 pembedahan untuk menampal kulit, membaiki struktur kaki dan tangan yang melecur de­ngan kos melebihi RM200,000.

Murni yang bekerja sebagai pemandu lori baja berkata, sebagai ibu dia tidak mahu melihat kekurangan diri sebagai alasan untuk anaknya tidak berjaya seperti insan lain.