Pengarang Hiburan Kanan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa berkesempatan berkongsi pengalaman selama 23 tahun dalam dunia kewartawanan kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Dr. Ismail, Pontian.

Saharudin berkata, menerusi bengkel tersebut, para pelajar diberikan penerangan mengenai kerjaya seorang wartawan dan pendedahan tentang dunia ke­wartawanan yang kian mencabar.

“Pada sesi soal jawab bengkel wartawan ini, kita dapat lihat bagaimana pelajar ini tertarik dengan kerjaya sebagai seorang wartawan yang mempunyai tarikan tersendiri.

“Kita berharap dengan pe­nganjuran bengkel ini dapat menjadikan bidang kewartawanan ini sebagai satu kerjaya pilihan pelajar ini setelah menamatkan pelajaran kelak,” katanya.

Sementara bagi pelajar MRSM Tun Dr. Ismail, Mohamad Azezul Mohd. Omar, bengkel itu memberi pendedahan tentang kerjaya wartawan dengan lebih mendalam dan meluas menarik minatnya untuk bergelar wartawan.